Tuesday 19 November 2013

‘Mahalnya tongkat ali Tok Daun’


Teringat peristiwa lebih 10 tahun lalu, di sebuah rumah di perkampungan di Gua Musang, Kelantan. Saya bersama tiga rakan mengadap seorang lelaki tua yang kami panggil Tok Daun.

 Kami ke rumahnya pagi itu setelah diberitahu, Tok Daun ada menjual akar tongkat ali tulen. Tongkat ali Tok Daun bukan sebarangan. Untuk menjamin kemujarabannya, akar tongkat ali perlu dicabut dengan cara membelakangkannya.

Dan ikut kata Tok Daun, dia sendiri memang amalkan petua tertentu ketika mencabut akar itu untuk menjamin kemujarabannya. Pagi itu, dialog ini berlangsung:
“Tok, berapa harga tongkat ali ni?”

“Issshhh, susah tok nak cakap. Mahal ni. Bukan senang nak ambik ni...”

“Ya lah, berapa harganya?”

“Itulah, kalau tok cakap mahal sikit pun jangan kecik hati ya. Memang susah nak ambik tongkat ali ni. Ambik tak boleh sebarang ambik, ada caranya,” kata Tok Daun lagi.

“Ya lah tok, kami tau susah nak ambik. Jadi tok cakaplah berapa. Kami fahamlah tu...” tingkah seorang rakan saya.

Ketika itu, dalam kepala saya mula menjangka, berapa agaknya harga sebungkus tongkat ali itu yang akan disebut Tok Daun. Adakah mungkin sampai RM40 atau RM50? Tetapi kalau betul mujarab, apa salahnya bayar lebih sikit.



Google Image


Tok Daun masih juga tidak menjawab soalan kami. Dia terus bermain dengan kata-kata memberitahu, bukan senang untuk dia mendapat tongkat ali asli dari Banjaran Titiwangsa itu. Dan berulang kali juga dia ingatkan kami supaya jangan berkecil hati dengan harga yang disebutnya nanti.

“Ok, sekarang Tok sebut saja berapa. Berapa pun, kami bayar. Kami faham susah tok nak ambik tongkat ali ni,” kata saya, mahu segera menamatkan teka-teki seperti yang tidak mahu sudah itu.

Akhirnya Tok Daun pun berkata: “Mahal, RM4 sebungkus ni,” katanya sambil menunjuk bungkusan tongkat ali yang agak besar juga.

Entah. Tak tahu bagaimana saya mahu gambarkan perasaan ketika itu. Rakan-rakan saya pun terkedu. Namun riak muka yang jelas dengan ketawa ditahan cukup untuk memberi makna apa yang kami rasa. Mahu ketawa, bimbang pula kalau-kalau orang tua itu berkecil hati.

“Oklah tok. Kami setuju, RM4 memang mahal tapi tak apa, kami beri tok RM10,” kata saya.

Tok Daun ternyata sangat gembira menyambut empat not merah yang kami hulur. Saya memahami kebimbangan Tok Daun. Baginya RM4 memang terlalu mahal kerana tinggal di kawasan terpencil dalam hutan itu, mereka jarang sekali berbelanja melainkan jika keluar ke Pekan Tapah atau Tanah Rata, Cameron Highlands.

Pada masa itu, lebuh raya yang menghubungkan Simpang Pulai - Kuala Berang juga belum siap. Untuk ke bandar Gua Musang, khabarnya lebih tiga jam perjalanan dari perkampungan dalam hutan itu. Sebab itulah, nilai RM4 dirasakan terlalu mahal.

 Namun, dalam cuba memahami Tok Daun, terasa ada juga lucunya kisah pertemuan saya dengan lelaki tua itu.

Teringat pula kisah dua kawan - kedua-duanya orang politik - yang ketika dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lipis, mereka singgah di gerai tepi jalan untuk beli petai. Adat berjual beli, adalah tawar menawar.

Apa yang tidak dijangka, permintaan kawan saya untuk dikurangkan harga dibalas oleh penjual petai itu begini: “Encik, kereta Mercedes mampu beli, takkan nak bayar harga petai pun tak mampu?”

Terkedu kedua-dua mereka, terus bayar dan berlalu. Di dalam kereta, barulah masing-masing pecah ketawa mengenang kata-kata itu.




Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/muhamad-mat-yakim/mahalnya-tongkat-ali-tok-daun-1.17907
Penulis: MUHAMAD MAT YAKIM

No comments :

Post a Comment